PROGRAM PEMBERIAN SUBSIDI AIR LEMBAGA AIR PERAK (LAP)
Sebagai satu agensi yang bertanggungjawab, LAP melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik dan miskin bagi meringankan beban kehidupan harian mereka.
Tanggungjawab sosial korporat ini dilaksanakan melalui program pemberian subsidi air kepada pengguna-pengguna termiskin yang menggunakan air domestik di seluruh Negeri Perak. Program ini dimulakan pada 1 Ogos 2008 yang ditanggung sepenuhnya oleh LAP.
Mereka-mereka yang layak untuk mendapat subsidi air ini ialah mereka-mereka yang berdaftar dan mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIP).
Mereka juga telah mendapat bekalan air dan mempunyai akaun aktif untuk membolehkan subsidi air ini disalurkan. Jumlah pemberian subsidi air ini adalah sebanyak maksimum 20m3 bersamaan dengan RM 10.00 sebulan.
Selain itu, LAP juga meluluskan bantuan subsidi air kepada penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan yang terlibat dengan Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS).
LAP meminta agar mereka-mereka yang tergolong dalam kategori di atas dan masih belum mendapat subsidi air supaya mengemukakan permohonan melalui tiga agensi tersebut.